Saturday, January 29, 2011

Pesona Dunia

Subhanallah walhamdulillah...Apa lagi kalimat suci yang dapatku ucapkan kepada ALLAh atas keizinanNYA yang memberi kekuatan dan kesempatan untukku menulis di blogku buat kali ini.

Aku sememangnya seorang yang amat suka kepada puisi.Banyak puisi kucipta untuk ku hayati dan selami maksud yang tersirat dalam puisi tersebut.Dalam waktu yang singkat ini,aku ingin berkongsi dengan para pembaca dengan satu puisi yang telah aku nukilkan pada awal tahun lalu.Pada awalnya,puisi ini hanya pendek kerana aku ingin menyiapkannya untuk dimuatkan ke dalam satu buletin.Namun apabila aku membacanya semula,aku menyedari bahawa aku boleh menambah lagi cerita pada puisi tersebut.

Puisi ini menceritakan betapa lemahnya kita dalam mendepani arus kehidupan duniawi yang begitu menggoda naluri.Ya.Kita terlalu leka dengan kesenaangan dunia yang sementara.Seringkali kita pinta kepada ALLAH agar ditambahkan nikmat namun jarang benar kita mensyukuri nikmat yang sedia ada.Namun,hendaklah kita sama-sama memuhasabah diri agar kita tidak terus terpedaya dek kehidupan di dunia yang fana.Ayuhlah kita mengorak langkah ,bersama-sama berusaha untuk mengejar kenikmatan yang kekal abadi...Nun di akhirat sana...Insya ALLAH...
Harapanku,moga-moga puisi ini dapat memberi ibrah dan suntikan semangat kepada semua untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH.Wallahualam...

Terimalah..."PESONA DUNIA."



Alangkah indahnya hidup ini,
Segala-galanya telahku miliki,
Kekayaan,keahagiaan,kesihatan,malah kemewahan,
Apa lagi yang belumku kecapi,
Subhanallah,
Sungguh agungnya kuasa Ilahi.
Namun,
Betapa sedikit aku mengingatiNya,
Terlalu banyak pula aku terleka olehnya,
Ya Allah...
Betapa hinanya aku di hadapanMu.
Ya Allahu Ya Rabbi,
Aku tak layak untuk syurgaMu,
Namun tak sanggup aku,
Terjerumus ke lembah nerakaMu.
Bimbinglah aku Ya Rabbi,
Jangan Kau biar aku terleka,
Dek kesenangan dunia yang sementara,
Jangan Kau biar aku terpana,
Dengan nafsu dunia yang fana,
Jangan Kau ganti nikmat selamanya di sana,
Dengan nikmat di sini yang seketika.
Semoga,
Aku menjadi orang yang bertakwa,
Serta terus istiqamah di atas jalanNya,
Mengejar Jannah di sana,
kerna itulah kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Thursday, January 27, 2011

Hebatnya Cinta kepada ALLAH SWT


Menelusuri kalam dakwah kali ini,aku ingin membawa para pembaca sekalian untuk menghayati salah satu kehebatan mengecap cinta ALLAH... 

Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya." Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."
Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah." Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ. Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit. Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia inginmendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima & lupa kepada yang lima :
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

"DUNIA HANYALAH PERHENTIAN MUSAFIR MENUJU KE DESTINASI YANG ABADI(AKHIRAT).CARILA KENIKMATAN DUNIA DENGAN BERPADA-PADA AGAR KAU BAHAGIA DI AKHIRAT SANA.

Teras Amalan

Assalamualaikum buat para pembaca sekalian.
Pertama sekali aku ingin mengucapkan setinggi kesyukuran kepada ALLAH yg telah memberikan aku kelapangan masa untukku coretkan sesuatu pada blog yg dah lama terbengkalai ni.^_^.
Aku ingin membawa para pembaca sekalian menyelami salah satu elemen terpenting dalam kita menjalani kehidupan kita seharian NIAT.Ya.Inilah yang menjadi teras kepada setiap apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini.
Hatiku tergerak untuk membicarakan soal ini semasa aku membelek-belek semula buku Hadis 40 karangan Imam Nawawi.Apa yang menarik perhatianku ialah beliau memulakan penulisan bukunya dengan menjadikan hadis yang membincangkan tentang niat sebagai hadis pertama yang beliau huraikan.Berikut adalah hadis tersebut:

"Dari Amirul mukminin Abu Hafs Umar Ibnu Khattab r.a,katanya:Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang dia niatkan.Maka barangsiapa hijrahnya kepada ALLAH dan RasulNYA,maka hijrahnya kepada ALLAH dan RasulNYA.Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang dia ingin mengahwininya,maka hijrahnya kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu."
Dalam kehidupan kita ini,segala yang kita lakukan pasti niat yang menjadi pemulanya.Mustahil orang itu melakukan sesuatu tanpa dia ketahui apakah tujuannya melakukan perkara tersebut,melainkan dia gila!Al-Khauyi mengatakan, “Seakan-akan Rasulullah memberi pengertian bahawa niat itu bermacam-macam sebagaimana perbuatan. Seperti orang yang melakukan perbuatan dengan motivasi ingin mendapatkan redha Allah dan apa yang dijanjikan  kepadanya, atau ingin menjauhkan diri dari ancamanNYA.

Persoalannya adalah,kenapa kita perlu niat kepada sesuatu perkara?Ah!Aku saja-saja je buat.Itulah pandangan sesetengah orang apabila mereka ditanya akan maksud perbuatan mereka. Mereka tidak sedar bahawa niat itu dapat mempengaruhi kualiti perkhidmatan seorang pekerja kerajaan,menentukan gagal,sekadarlulus atau cemerlangnya seorang pelajar,salah atau tidak sesuatu perbuatan itu,dan yang paling penting niat jugalah yang menentukan adakah sesuatu amalan itu diterima di sisi ALLAH ataupun tidak.Pendek kata,niat memandu perbuatan seseorang itu melalui 2 jalan,sama ada kejayaan atau kecelakaan.

Para pembaca sekalian,
Amatlah penting bagi kita untuk menetapkan niat yang betul sebelum melakukan sesuatu perkara.Hal ini kerana hanya niat yang betul akan dapat memastikan perbuatan seseorang itu berfaedah.Hurm...Macam ada sesuatu kekurangan jika hanya niat sahaja yang diperkatakan.Bukan?Ya!KEIKHLASAN.Ia umpama teman baik kepada niat kerana jika jika sesuatu perkara dilakukan dengan penuh keikhlasan.insya ALLAH bukan sahaja kebaikan duniawi kita dapat,malah manfaat ukhrawi juga akan turut menyertai.Amalan yang ikhlas inilah pahala yang menjadi pahala tersembunyi yang kita tidak ketahui.Contohnya,katakanlah seseorang itu bekerja sebagai guru.Dia menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi.Masuk ke kelas tepat pada waktunya,mengajar dengan pelbagai 'method' pengajaran supaya murid dapat memahami apa yang diajarkannya,dilayannya murid dengan begitu baik,buku murid diperiksa dengan teliti,dan hadiah diberikan sebagai penghargaan jika muridnya mendapat markah terbaik dalam siri ujian.Dia melakukan semua itu kerana keikhlasannya hendak melihat anak didiknya berjaya selain melakukannya kerana menyedari ALLAH sentiasa melihat apa yang dia kerjakan.Maka dengan apa yang dia lakukan,dia mendapat ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT.

Setelah penetapan sesuatu niat,kita hendaklah melakukan apa yang kita niatkan itu dengan bersungguh-sungguh.Ingatlah bahawa jika kita bertangguh dalam bekerja,curi tulang,makan suap dan sebagainya,kalaupun majikan tidak sedar,tapi ALLAH melihat apa yang kita kerjakan.Jangan lupa bahawa ALLAH adalah majikan kita yang paling utama.Kita 'bekerja' keranaNYA.Jika kita menyedari hakikat hal ini,insya ALLAH tidak akan terjadi penyelewengan dalam setiap tindak tanduk dalam melaksanakan sesuatu amalan.Dan inilah manfaat niat yang betul yang dapat dilihat oleh mata.

Sebelum aku mengakhiri penulisan kali ini,ingin aku membawa sahabat sekalian kepada bahagian-bahagian amal yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam keterangannya mengenai amal yang disertai dengan niat yang baik.iaitu:
1.Amal yang dikerjakan kerana takut kepada ALLAH.Amal ini dinamakan ibadat hamba.
2.Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala.Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
3.Amal yang dikerjakan kerana malu kepada ALLAH dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu apakah amalnya diterima atau tidak.Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.Dan amalan sebeginilah yang menjadi amalan para anbiya',auliya' dan para solihin.

Bersamalah kita menanam niat yang ikhlas dan baik dalam memulakan sesuatu perkara.Insya ALLAH semuanya akan berhasil. Pelajar akan mendapat keputusan yang cemerlang,pekerja pula akan bekerja dengan dedikasi,peniaga juga akan amanah.Kerana apa?Ya! Kerana NIAT yang BETUL!
Wallahualam......