Wednesday, December 29, 2010

Kembara Hidupku

Dalam meniti kehidupan di dunia ini,kita pasti mempunyai perkara yang amat suka kita lakukan bukan?Begitu juga aku.Aku sememangnya seorang yang amat mencintai seni tarannum Al-Quran sehinggakan setiap tahun aku pasti akan menyertai pertandingan musabaqah.

Aku mula menyertai pertandingan seawal usia 9 tahun.Aku mewakili sekolahku dalam pertandingan MTQ  Zon Barat pada tahun 2002.Dengan tidak mempunyai pengalaman,aku mempersembahkan bacaanku hanya dalam masa 2 minit sedangkan masa yang diperuntukkan adalah 6 minit.Juruacara menegur aku lalu menyuruh aku menyambung lagi bacaan.Perasaan maluku hanya ALLAH yang mengetahui ketika itu.Apa tidaknya,para penonton tertawa sejurus mendengar kata juruacara tersebut.Namun aku tetap menyudahkan bacaanku.Suatu pengalaman yang melucukan untukku kenangi.

Aku tidak menyertai MTQ pada tahun 2003 kerana khuatir perkara tersebut berulang semula.Aku mula diperkenalkan dengan seni tarannum oleh abahku pada tahun itu.Hal ini kerana dia telah melihatku begitu tekun menonton bacaan yang dipersembahkan oleh Johan MTQ Kebangsaan ketika itu,Ustaz Radzi Kamarul Hailan.Bermulalah kembaraku untuk mendekati serta mempelajari ilmu tarannum dengan serius.Seusai solat Maghrib,aku akan bertalaqqi dengan abah sehingga masuk waktu isyak.Begitulah rutin harianku sehingga aku menyertai MTQ pada tahun berikutnya.Dalam pada itu,aku turut belajar al-Quran daripada guru-guru seperti Ustazah Hajah Alinsam,Ustaz Junaidi dan Ustazah Masnah.Akhirnya usaha tersebut membuahkan hasil(dengan izin ALLAH) apabila aku menjuarai MTQ Zon Barat seterusnya mendapat tempat ketiga Dalam MTQ daerah tahun itu.Pada tahun 2005,aku berjaya hingga ke peringkat Bahagian dengan mendapat tempat kedua.

Melangkah ke sekolah menengah,aku tetap meneruskan aktiviti kokurikulumku itu untuk mendapatkan markah dan memperbaiki mutu bacaanku.Namun ketika Tingkatan 1,aku sekadar memperoleh saguhati dalam MTQ daerah.Namun ini tidak membantutkan usahaku untuk mempelajari al-Quran kerana bukan kemenangan yang dicari tetapi sejauh mana ilmu yang dipelajari itu dapat dipraktikkan dan dapat digunakan untuk memajukan agama dan bangsa.Itu yang lebih penting.Pada tahun itu juga,abah memperkenalkan aku dengan seorang qari yang merupakan mentorku setelah pertemuanku dengan ustaz itu,iaitu Ustaz Madli Haji Mansur.Aku berusaha mendalami ilmu al-Quran daripadanya dan aku cuba untuk menghadiri setiap sesi kelasnya.Akhirnya aku berjaya buat pertama kalinya memboloskan diri ke peringkat negeri buat pertama kalinya pada tahun 2007.Sungguhpun begitu,aku tetap mengingati amanat ustaz Madli,'kita bertanding bukan untuk mendapatkan kejayaan,tetapi kita hendak memperdengarkan kalamullah dan berdakwah melalui ruang yang telah diberikan semasa bertanding.Kalau kamu mengharapkan kejayaan,kamu tak akan mendapatnya.Tapi kalau kamu mengharapkan pahala dari ALLAH serta ikhlas dalam bertanding,insya ALLAH kamu akan beroleh kejayaan'.Itulah yang menjadi senjataku dalam menghadapi pertandingan.Bisikan syaitan yang menggoda aku agar mengejar kemenangan sahaja kutepis bersungguh-sungguh.

Alhamdulillah.Pada tahun 2008,aku berjaya ke peringkat kebangsaan.Sewaktu menghadiri sesi latihan pusat di Kompleks Tabung Haji,aku diperkenalkan dengan Ustaz Rafee,jurulatih kami.Dia memperkenalkan aku dengan para qari dari Timur Tengah seperti Dr. Nuaina,Syeikh Mustafa Ismail dan ramai lagi.Pada mulanya aku agak kekok kerana aku tidak pernah mengenali qari-qari tersebut sebelum ini.Namun,aku amat meminati bacaan dari qari-qari tersebut dan aku berazam untuk meniru bacaan mereka.Pertemuanku dengan ustaz Rafee hanya selama 3 hari sahaja dan memang tidak cukup waktu untuk aku mendapatkan ilmu daripadanya.Namun aku mencari koleksi bacaan al-Quran dari qari-qari Timur Tengah sebagaimana yang dinasihatkannya kepadaku.Pada tahun 2009 juga,aku berjaya ke peringkat kebangsaan namun aku sekadar memperoleh saguhati sahaja.

Pada tahun ini,aku sekali lagi mewakili negeri Sabah ke MTQ Kebangsaan di Terengganu.Syukur kepada ALLAH,aku berjaya memperoleh tempat ketiga.Berita gembira itu disampaikan kepadaku oleh sahabatku di Terengganu,Luqman kerana pada waktu itu,kami bertolak awal ke KLIA.Subhanallah walhamdulillah,Allahuakbar.Itu sahaja yang aku ucapkan sepanjang aku mengetahui berita tersebut kerana aku hampir tidak mempercayainya.Air mataku bercucuran tatkala berita itu disahkan oleh ketua kontinjen kami.Selain aku,sahabatku Nashraf juga menjuarai acara Hafazan.Tidak ada yang menjadi keutamaan kami pada waktu itu melainkan mencari surau.Seharusnya kemenangan itu disambut dengan penuh kesyukuran kepada ALLAH.Seusai solat Dhuha,kami melakukan sujud syukur bersama-sama.Aku menelefon abah dan ummi.Aku ingin berkongsi berita tersebut dengan orang yang tersayang.Abah dan ummilah yang paling awal kukhabarkan berita tersebut.Ungkapan tahmid seakan tidak puas untukku ulangi sambil masih terkejut dengan berita tersebut.Alhamdulillah.Perjuangan terakhirku membuahkan hasil juga akhirnya.Segalanya dari ALLAH...

Sebenarnya kejayaanku ini adalah hasil dorongan dan sokongan padu daripada abah dan ummi,adik-adikku,guru-guruku,sahabat-sahabatku,serta semua orang di sekelilingku.Merekalah yang membakar semangatku agar tidak jemu mencuba meskipun kadangkala mengalami kegagalan.

Aku menceritakan kisah hidupku ini bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi terselit beberapa ibrah yang dapat kita hayati bersama di dalamnya.Pertamanya,usahlah kita berbangga dengan apa yang kita miliki kerana ia hanyalah milik ALLAH.Setinggi mana kejayaan kita,ALLAH adalah pemberinya.Ingatlah,segala kejayaan itu tidak dapat diperolehi dengan jalan pintas melainkan perlu mengharungi onak duri di sepanjang perjuangan demi mencapai cita-cita.Kita juga hendaklah membetulkan segala niat kita dalam melakukan sesuatu perkara kerana mungkin sesuatu yang kita lakukan itu betul dan baik tetapi tiada nilainya di sisi ALLAH lantaran tiada keikhlasan dalam hati.Pastikan segala perkara yang kita lakukan adalah berpaksikan KEREDHAAN ALLAH semata-mata.Insya ALLAH DIA akan memberikan pahala sesuai dengan niat dan perbuatan kita itu.

“Carilah kesenangan dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.Dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati pada esok harinya”.



No comments:

Post a Comment