Wednesday, July 31, 2013

Hijrah (Bahagian 1)

Jam sudah menunjukkan angka 10.Tapi mesej yang dinanti tidak kunjung tiba.Hassan telah berjanji untuk ber’chatting’ dengan Daniel pada malam itu.Dari lagak mesejnya 2 hari yang lalu,tampak seperti dia memerlukan pertolongan dari Hassan.

“Assalamualaikum.”
Ah!Akhirnya penantian itu berbalas.
“Waalaikumsalam Daniel.Apa khabar?”
“Alhamdulillah.Sihat.Kau apa khabar?”
“Alhamdulillah.Masih Allah beri peluang untuk bernafas.Hari tu kamu macam perlukan sesuatu.Boleh saya tahu apa dia?”
“Oh…Hehe…Tak ada apa-apa.Sebenarnya ada sesuatu yang perlu aku bincangkan dengan kau.Tapi kau busy tak ni?”
“Eh tak adalah.Kan saya dah janji kita akan chatting malam ni.Janji pasti saya tunaikan.”
“Baguslah kalau macam tu.Sebelum tu,dah tengok tak akaun FB aku?Biodata aku?”
“Dah.Kamu memang asal dari Amerika ke?”
“Mak aku orang Amerika.Illinois.Tapi dah masuk Islam sejak dia nikah dengan ayah aku.Kami tinggal di Malaysia sampai umur aku 8 tahun.Then kami pindah ke Amerika dan tinggal kat sana 7 tahun.Lepas tu kami tinggal kat Malaysia sampai sekarang.”
“Oh begitu.”
“Sebenarnya aku cerita semua ni pada kau bukan saja-saja.Ada benda yang aku nak bagitahu sebenarnya.”
“InsyaAllah.Teruskan.”
“Hassan,kenapa semua orang agama ni straight sangat?”
“Maksud kamu?”
“Yalah.Aku tahu aku ni jahil agama.Dan aku perlukan masa untuk berubah.Tapi kenapa orang agama susah sangat nak faham benda tu?”

Hassan mula tertarik untuk mengenali insan yang hanya dikenalinya di laman Facebook itu.Walaupun berada di kolej yang sama,namun baru kali pertama dia mendengar nama Daniel Farouq.Melalui profilenya sahaja Hassan sudah mengetahui bahawa Daniel bukanlah datang dari keluarga yang tahu benar latar belakang agama.Namun dia berasa pelik kerana di antara ramai kenalan Daniel di laman maya itu,Hassanlah yang dia pilih untuk dia meluahkan sesuatu yang mungkin tidak pernah diberitakannya kepada orang lain.Tetapi Hassan mengerti,bahawa Allah sedang merencana sesuatu buat dirinya.

“Oh…Maksud kamu orang agama tu tak suka dengan kamu.Begitu?”
Exactly.Frankly aku memang rasa sangat sedih sebab aku perlukan seseorang untuk membimbing aku.Tapi ini pula jadinya.Aku disisih malah disindir lagi.What a pathetic person!”

Timbul rasa simpati di hati Hassan.Tidak sepatutnya Daniel diperlakukan sebegitu hanya kerana dia inginkan suatu perubahan dalam hidupnya.Hassan nekad untuk bertemu dengan Daniel.

“Sabar ya Daniel.Macam nilah.Apa kata kita jumpa hujung minggu ni?Boleh borak panjang-panjang.”

OK.How about Saturday, CafĂ© C,1.30 p.m?”
“Boleh.Jumpa di sana ya.”

…………………………………………………………………………………………………………

“Enta tengah buat apa tu?Khusyuk nampak,”ujar Safwan yang baru sampai di aras Satu Surau Al-Irfaan itu.
“Eh Safwan rupanya.Tak adalah.Ana tengah buat assignment ni.Kena buat poster untuk presentation esok,”balas Hassan.
“Oh…Tak payah risaulah.Enta kan hebat Photoshop.Confirm gempak presentation esok.”

Hassan hanya tersenyum.Namun dia beristighfar di dalam hati mendengar pujian tersebut.Hassan memang seorang yang kreatif dalam pengubahsuaian gambar dan poster.Tidak hairanlah dia sering ditugaskan untuk menghasilkan poster bagi setiap program anjuran Surau al-Irfaan.

“Assalamualaikum.”
Suara yang sangat dikenali Hassan dan Safwan.Seorang lagi sahabat mereka,Azri datang.
“Tengah buat apa ni?Tak ajak ana pun.Wah!Cantiknya gambar ni.Tererlah enta Hassan,”kata Azri sejurus melihat gambar yang terpampang di skrin komputer riba Hassan.Azri sememangya seorang yang sangat periang dan sangat suka bercakap.

“Jom makan.Ni ana beli ikan sardin.Kita masak di dapur.Kalau makan dengan roti ni memang sedap ni,”ajak Azri.
“Eh!Tunggulah dulu.Mungkin masih ada muslimat kat dapur,”Safwan mencelah.
“InsyaAllah tak ada.Ana kat bawah tadi,senyap je.Rasanya semua dah balik asrama,”Balas Azri.
“Alhamdulillah.Rezeki datang.Selamat duit aku,”gurau Hassan.Mereka bertiga ketawa.

“Kenapa ya segelintir dae’i ni suka sangat menghukum?”Sambil makan, Hassan memulakan perbualan.Dia teringat perbualannya dengan Daniel malam semalam.
“Tak faham konsep dakwah kot.Dakwah ni membimbing.Bukan menghukum.Sikap skeptism dalam agama nilah yang membuatkan lebih ramai orang jauh dari agama,”balas Azri.
“Betul tu.Ramai dae’i tidak memberikan nilai kasih sayang Tuhan itu kepada manusia,sebaliknya lebih suka memberikan hujah tentang kemurkaan Allah.Padahal kasih sayang Allah itu jauh melebihi kemurkaanNya,”ujar Safwan pula.
“Betul tu.Semalam ana chatting dengan seorang sahabat di matrik ni yang turut menerima tempias dari ‘dae’i penghukum’ ni.Kasihan ana dengan dia.Ana rasa dia nak berubah tapi tak ada yang nak bimbing dia,”luah Hassan.

Sememangnya mereka bertiga merupakan sahabat yang sangat rapat.Surau al-Irfaan itu sudah menjadi seperti rumah mereka.Walaupun baru 3 bulan berkenalan,namun hobi mereka yang suka menjadi ‘penunggu surau’ itu menjadikan hubungan mereka sudah menjadi seperti adik beradik.Segala masalah akan dipikul bersama.Terasa ringan beban walau seberat mana pun ia mendatang.

“Mungkin itu tanda bahawa Allah hendak mengamanahkan orang tu kat enta.Enta dah jumpa dia?” Tanya Azri.
“Belum lagi.Ana janji nak jumpa dia Sabtu ni.InsyaAllah.Doakan ana.Siapa tahu insan sebegitu mampu menjadi seorang lagi ‘Umar al-Khattab’ alaf baru.Berubah menjadi seorang pejuang Islam yang sangat digeruni musuh-musuh Islam.
“InsyaAllah Hassan.Moga Allah permudahkan,”balas Azri.

…………………………………………………………………………………………………………

“Assalamualaikum,”Hassan memberikan salam kepada Daniel.
“Waalaikumsalam Hassan.Jom beli makanan.Aku belanja,”ujar Daniel.
“Subhanallah.Betul ke ni?Tak menyusahkan ke?” Hassan terasa sedikit kekok dengan pelawaan insan yang baru dijumpainya itu.
“Eh betullah.Jom beratur.Nanti lauk habis pula,”kata Daniel.Hassan akur melihat kesungguhan Daniel.

“Hassan,tahu tak kenapa aku nak jumpa kau?”
“Kenapa?”
“Sebab aku nak seorang sahabat yang boleh bimbing aku.Bukannya menghentam dan mengherdik aku.Jauh sekali untuk menyisihkan aku.Aku nak berubah dari jahil kepada tahu.Tapi sikap roommate aku menyebabkan aku tak rasa langsung nak berubah.”
“Oh.Insya Allah saya akan cuba.Tapi,boleh saya tanya? Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”

“Aku sebenarnya datang dari keluarga yang jahil agama.Mak ayah aku dua-dua tak pernah sentuh tikar sembahyang semenjak mereka kahwin.Aku dan adik perempuanku tak pernah tahu fasal agama.Aku suka minum arak.Peminum tegar lagi.Arak tu dah macam air mineral bagi aku.Main perempuan jangan cakaplah.Adik aku pun sama.Perangai kami memang tak ubah macam remaja Barat yang lain.Itulah kehidupan kami.Tak pernah kenal apa itu Islam.Yang aku tahu,dalam IC aku adalah Islam.Di situ sajalah Islam itu terkubur.Tidak pernah terluah dalam peribadiku.”

Hassan terdiam seketika.Dia terkejut mendengar kisah hidup Daniel.Dia menyangka insan seperti itu hanya wujud di layar perak saja.Rupanya ada juga manusia yang Allah uji sebegitu rupa.Air muka Daniel mulai berubah.Nasi di pinggannya masih tinggal separuh.Namun tidak dihabiskannya lalu diletakkannya ke tepi.Dia menghirup air Coca Cola yang dibelinya tadi.Hassan hanya mendengar dan membiarkan Daniel sebentar.
Kemudian Daniel menyambung.

“Minggu lepas aku balik ke rumah.Kebetulan ayahku sedang mengadakan majlis hari jadi untuk ibuku.Di majlis seperti inilah perangai ‘kebaratan’ kami sekeluarga akan terzahir.Botol arak ada di mana-mana.Ayah dan ibuku bebas menari dengan siapa sahaja yang mereka suka.Termasuklah dengan isteri dan suami sahabat mereka.”

Hassan beristighfar panjang.Mahu sahaja dia memberhentikan percakapan Daniel kerana tidak ingin mendengar keaiban keluarga orang.Namun,belum sempat dia berbuat demikian,Daniel sudah menyambung bicara.

But that night I feel something different.I feel uncomfortable with that situation.Rasa macam sedih.Benci pun ada.Dalam majlis tu ada macam-macam orang.Dari businessman sampailah ke dealer arak.Orang Cina ada,orang Islam pun ada.Aku rasa macam malu dengan keluarga kami.Terutamanya aku.Lahir Islam.Tapi satu pun aku tak tahu tentang Islam.Akhirnya aku tak tahan dengan suasana tu.Then aku keluar rumah.Ambil angin sekejap.”

Melalui penceritaan Daniel,Hassan meneka bahawa dia datang dari keluarga yang kaya.Tidak dinafikan lagi.Lebih-lebih lagi setelah mendengar tentang ibu bapa mereka.

“Aku pergi bersiar-siar di pantai.Dalam kesunyian malam tu,aku terdengar satu percakapan dari masjid berdekatan.I think it’s more like a speech.Orang tu cakap tentang taubat.Apa yang paling aku tak boleh lupa,dia cakap bahawa seluas-luas pintu dalam Islam tu adalah pintu taubat.But then I realize,mahukah Tuhan terima taubat orang macam kami ni?Yang selalu langgar peraturan Islam?Sebab roommate aku selalu cakap,orang macam aku ni Allah tak terima dah ibadah dan taubat aku.Sebab badan aku dah kotor dengan arak.Kalau aku mati pun hanya satu saja tempat yang layak untuk aku.Neraka.”

Kelihatan titisan air mula mengalir di kelopak matanya.

“Dia selalu marah aku.Ya aku memang ada simpan botol arak dalam locker.Aku tak boleh tahan kalau tak minum.Sehari tak minum aku rasa macam nak gila.Aku tak tahu nak buat apa lagi.”

Hassan berasa simpati terhadap Daniel.Kehidupannya itu bukanlah sesuatu yang dia inginkan,tapi kerana situasi hidupnya yang membuat dia jadi begitu.

“Kenapa roommate kamu tak nak faham keadaan kamu?Dia tahu tak keluarga kamu macam mana?” Tanya Hassan.
“Dia tahu,”jawab Daniel.
“Tapi dia tak pernah cuba ambil tahu.Cukup setakat itu sajalah yang dia tahu,”sambungnya lagi.

Hassan terdiam.Dia tahu bahawa orang agama yang disebut-sebut oleh Daniel itu adalah seorang dae’i.Kemungkinan besar juga merupakan orang di dalam jawatankuasa Surau al-Irfaan.Padanya,orang itu sepatutnya bersabar dengan karenah ‘orang baru’ seperti Daniel.Bukan terus menghukumnya ahli neraka dan sebagainya.Di mana dia hendak meletakkan keampunan dan rahmat Allah yang sebenarnya jauh mengatasi kemurkaanNya?Bagaimana dia hendak menarik manusia dengan Tuhan kalau dia acapkali berdakwah dengan benci berbanding berdakwah dengan cinta?Hassan berpendapat dia perlu bertemu orang tersebut.Orang itu yang terlebih dahulu perlu diperbaiki.

“Boleh tak saya tahu siapa roommate yang kamu maksudkan tu?”Hassan cuba ambil tahu.
“Umar,”jawab Daniel selamba.
Tersentak Hassan seketika.
“Umar?Eh!Takkanlah dia.Mana mungkin insan sehebat itu adalah orang yang Daniel ceritakan.Tidak.Tidak mungkin.Mustahil.Ah!Aku ber’su’uzzon’ nampaknya.Astaghfirullah,”bisik hati Hassan,cuba menafikan apa yang ada di dalam kepalanya.



Nak tahu siapa Umar? Nantikan Hijrah (Bahagian 2). ^_^

Monday, July 29, 2013

Gambar para Nabi

Diceritakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW,baginda telah menghantar dua orang sahabat ke Rom untuk berdakwah kepada Raja mereka,Hercules.Sebulan kemudian,dua orang sahabat itu pun sampai di pintu kota Rom.Mendengar khabar itu,Raja Rom terus menghantar panglima tenteranya untuk bertemu dengan sahabat tersebut.Panglima mengarahkan satu batalion tentera untuk turun bersama dengannya.

"Apa hajat kamu datang ke mari?"
"Kami hendak bertemu dengan raja kamu."
"Cukuplah kamu bertemu dengan aku sahaja.Nyatakan hajat kamu."
"Kami tidak datang sejauh ini semata-mata hanya berdiri di sini dan bertemu dengan kau.Benarkan kami masuk bertemu raja."

Panglima itu berasa gentar kerana walaupun dia mempunyai tentera yang ramai,namun sahabat Rasulullah itu sedikit pun tidak takut dengan mereka.Akhirnya panglima tersebut mengiringi sahabat itu bertemu dengan Raja Hercules.

Kerajaan Rom ni merupakan kerajaan yang amat berkuasa ketika itu.Ibaratnya kalau dibandingkan dengan zaman sekarang,sama dengan kerajaan Amerika.

Setelah berhadapan dengan Raja Hercules,maka Raja Hercules pun bertanya,
"Apa hajat kamu datang ke mari?"
"Kami ingin menyebarkan Islam kepada kamu."

Raja Hercules hanya tersenyum.Kemudian baginda membawa kedua sahabat itu ke suatu bilik.Di dalam bilik itu ada berpuluh-puluh bilik lagi di depannya.Mereka melalui bilik itu satu-persatu.Setelah sampai di bilik yang terakhir,mereka melihat satu pintu.Raja Hercules menerangkan bahawa ada 25 lagi pintu di belakang sana.Besar sungguh istana Raja Hercules.

Mereka pun masuk melalui pintu yang pertama.Kemudian Raja Hercules mengeluarkan satu gambar yang dilukis di atas kain baldu.Tertera gambar seorang lelaki yang sangat tampan rupanya.Bujur mukanya dan bertocang.Raja Hercules bertanya,"Kenalkah kamu siapa lelaki ini?" Para sahabat itu menggeleng kepala.Raja Hercules menyambung,"Inilah nabi Adam AS." Maka mereka pun melalui pintu itu satu persatu.Setiap bilik mengandungi gambar nabi-nabi.

Sampailah mereka ke pintu yang kelima.Maka Raja Hercules pun mengeluarkan satu gambar.Dan terpampanglah satu wajah yang sangat mereka rindui.Sahabat itu menjawab,"Ini sahabat kami,Muhammad."Lalu mengalirlah air mata kedua sahabat itu lalu berkata kepada Raja Hercules,"Benarkanlah kami untuk mencium gambar ini kerana telah berbulan kami tidak berjumpa dengan Rasulullah."

Raja Herculles membenarkan.Kemudian baginda menyambung,"Sebenarnya gambar ini terletak di pintu yang ke-25,namun sengaja aku letak gambar ini di pintu ke-5 supaya aku dapat mengetahui apakah benar kamu ini utusan nabi."

Sebenarnya Raja Hercules tahu tentang kerasulan nabi Muhammad SAW.Namun kerana ingin menjaga takhtanya,maka hidayah Allah ditolaknya mentah-mentah.

Persoalannya di sini,benarkah wujud gambar-gambar nabi?
Dalam kitab Dala'ilun Nubuwwah karangan Imam al-Baihaqi',memang ada kisah bahawa Nabi Adam meminta agar ditunjukkan kepadanya gambar para nabi.Lalu Allah memakbulkan permintaan baginda dan mengirimkan gambar para nabi dalam bentuk kain baldu.

Beberapa kurun kemudian Iskandar Zulkarnain telah menemui perbendaharaan harta Nabi Adam dan menemui gambar nabi-nabi tersebut.Kemudian gambar itu diberikan kepada Nabi Daniel.Dan Nabi Daniel mewariskan gambar-gambar tersebut kepada maharaja Rom.Dan gambar itu disimpan oleh keluarga diraja Rom sejak zaman berzaman.

Dan mungkin gambar itu wujud lagi sehingga sekarang.
Kalau wujud,di mana gambar-gambar tersebut?
Kata Syeikh Nazrul Nasir,kemungkinan gambar itu berada di Vatican City.Tapi tempat sebenar gambar itu sekarang,hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Wallahualam bis sawab.

Friday, July 19, 2013

Ramadhan Kareem


Bismillahirrahmanirrahim...

Meniti kalam pena kali ini,rasa sebak melanda dada tatkala aku merasa Ramadhan yang begitu pantas berlalu.Dalam sedar tak sedar,rupanya Ramadhn telah menjengah ke fasa keduanya iaitu keampunan dari Allah SWT.Apalah yang telah aku lakukan sepanjang sepuluh hari Ramadhan yang lalu.

Ramadhan kali ini banyak membawa aku untuk bermuhasabah diri.Terkadang aku mengenang kembali bagaimana aku mensia-siakan Ramadhan yang telah lalu sehingga aku tidak mendapat sedikit pun manfaat ataupun perubahan pada diriku.Terkadang aku berfikir,bagaimana penerimaan Allah terhadap amalan yang aku lakukan yang hanya 'bagai melepas batuk di tangga'.Apakah ia diterima,ataupun ia akan dilempar semula bak kain buruk ke mukaku di akhirat nanti.Bermacam-macam perkara bermain di minda.Sehingga aku kadang-kadang menangis tanpa ku sedar.Mungkin Allah hendak menyedarkan aku betapa aku perlu kembali kepadaNya.



Sahabat,terlalu rugi kalau kita membiarkan Ramadhan ini berlalu begitu saja tanpa pengisian amalan yang dapat mendekatkan kita kepada Allah.Ramadhan ini merupakan hadiah Allah kepada hambaNya.Amatlah rugi jikalau kita tidak mahu menerima pemberian yang amat bernilai ini.

Nabi-nabi umat terdahulu berasa amat iri hati dengan umat Rasulullah SAW kerana keistimewaan yang telah diberikan kepada kita.Walaupun dikurniakan umur yang pendek,namun dikurniakan peluang untuk mendapat ganjaran beribadah ratusan tahun.Inilah hadiah Allah dalam bulan Ramadhan.Kalau umat nabi terdahulu,ada yang beribadah sehingga 500 tahun.Ada yang berperang sahaja sehingga 80 tahun.MasyaAllah.Tetapi umat nabi Muhammad SAW tidak perlu beribadah begitu banyak kerana Allah menyediakan ganjaran ibadah berlipat ganda dalam bulan Ramadhan.Bukan itu sahaja,bahkan Allah mengurniakan kita Lailatul Qadr,malam yang lebih baik dari seribu bulan (bersaman 83 tahun).Subhanallah...
Bayangkan kalau kita solat tahajud pada malam Lailatul Qadr,maknanya kita melakukan solat tersebut selama 83 tahun.Allahuakbar.Belum tentu pun kita boleh hidup sehingga 83 tahun.Sayangnya Allah pada kita.

Jadi,dengan Ramadhan yang masih berbaki ini,mari kita sama-sama manfaatkan dengan sebaiknya.
Jangan sesekali tinggalkan bacaan al-Quran.Paling kurang bacalah 10 muka surat setiap hari.
Jangan tinggalkan qiyamullail kerana itulah senjata umat Islam yang paling ampuh dalam mendepani arus kehidupan dunia.Paling kurang,buatlah solat-solat sunat 10-20 minit terakhir sebelum Subuh.
Perbanyakkanlah zikir.Berlama-lamalah dalam bersendirian dengan Allah kerana pasti kita akan bertemu ketenangan.

Pastikan itulah perkara minima yang kita lakukan setiap hari kerana ganjaran ibadah itu akan digandakan sebanyaknya oleh Allah.Mari kita gunakan Ramadhan kali ini dengan sebaiknya agar kita mampu menjadi hamba yang lebih bertaqwa serta mampu mentransformasi diri kita menjadi hamba yang 'baru' setelah habis belajar di Universiti Ramadhan kali ini.

Wallahualam bis sawab.