Friday, July 19, 2013

Ramadhan Kareem


Bismillahirrahmanirrahim...

Meniti kalam pena kali ini,rasa sebak melanda dada tatkala aku merasa Ramadhan yang begitu pantas berlalu.Dalam sedar tak sedar,rupanya Ramadhn telah menjengah ke fasa keduanya iaitu keampunan dari Allah SWT.Apalah yang telah aku lakukan sepanjang sepuluh hari Ramadhan yang lalu.

Ramadhan kali ini banyak membawa aku untuk bermuhasabah diri.Terkadang aku mengenang kembali bagaimana aku mensia-siakan Ramadhan yang telah lalu sehingga aku tidak mendapat sedikit pun manfaat ataupun perubahan pada diriku.Terkadang aku berfikir,bagaimana penerimaan Allah terhadap amalan yang aku lakukan yang hanya 'bagai melepas batuk di tangga'.Apakah ia diterima,ataupun ia akan dilempar semula bak kain buruk ke mukaku di akhirat nanti.Bermacam-macam perkara bermain di minda.Sehingga aku kadang-kadang menangis tanpa ku sedar.Mungkin Allah hendak menyedarkan aku betapa aku perlu kembali kepadaNya.



Sahabat,terlalu rugi kalau kita membiarkan Ramadhan ini berlalu begitu saja tanpa pengisian amalan yang dapat mendekatkan kita kepada Allah.Ramadhan ini merupakan hadiah Allah kepada hambaNya.Amatlah rugi jikalau kita tidak mahu menerima pemberian yang amat bernilai ini.

Nabi-nabi umat terdahulu berasa amat iri hati dengan umat Rasulullah SAW kerana keistimewaan yang telah diberikan kepada kita.Walaupun dikurniakan umur yang pendek,namun dikurniakan peluang untuk mendapat ganjaran beribadah ratusan tahun.Inilah hadiah Allah dalam bulan Ramadhan.Kalau umat nabi terdahulu,ada yang beribadah sehingga 500 tahun.Ada yang berperang sahaja sehingga 80 tahun.MasyaAllah.Tetapi umat nabi Muhammad SAW tidak perlu beribadah begitu banyak kerana Allah menyediakan ganjaran ibadah berlipat ganda dalam bulan Ramadhan.Bukan itu sahaja,bahkan Allah mengurniakan kita Lailatul Qadr,malam yang lebih baik dari seribu bulan (bersaman 83 tahun).Subhanallah...
Bayangkan kalau kita solat tahajud pada malam Lailatul Qadr,maknanya kita melakukan solat tersebut selama 83 tahun.Allahuakbar.Belum tentu pun kita boleh hidup sehingga 83 tahun.Sayangnya Allah pada kita.

Jadi,dengan Ramadhan yang masih berbaki ini,mari kita sama-sama manfaatkan dengan sebaiknya.
Jangan sesekali tinggalkan bacaan al-Quran.Paling kurang bacalah 10 muka surat setiap hari.
Jangan tinggalkan qiyamullail kerana itulah senjata umat Islam yang paling ampuh dalam mendepani arus kehidupan dunia.Paling kurang,buatlah solat-solat sunat 10-20 minit terakhir sebelum Subuh.
Perbanyakkanlah zikir.Berlama-lamalah dalam bersendirian dengan Allah kerana pasti kita akan bertemu ketenangan.

Pastikan itulah perkara minima yang kita lakukan setiap hari kerana ganjaran ibadah itu akan digandakan sebanyaknya oleh Allah.Mari kita gunakan Ramadhan kali ini dengan sebaiknya agar kita mampu menjadi hamba yang lebih bertaqwa serta mampu mentransformasi diri kita menjadi hamba yang 'baru' setelah habis belajar di Universiti Ramadhan kali ini.

Wallahualam bis sawab.

No comments:

Post a Comment